PUTRAJAYA — Selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan bahawa siasatan terhadap bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar bersama pegawainya telah selesai tanpa pendakwaan, kini timbul satu lagi persoalan besar: apakah status kes pengambilan pekerja asing bernilai RM97 juta yang pernah dikaitkan dengan bekas Menteri Sumber Manusia daripada DAP, V. Sivakumar dan beberapa pegawai kanannya?
Dalam kes Xavier, SPRM tampil memberikan penjelasan rasmi. Dua kertas siasatan yang dibuka pada 2021 di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 telah diklasifikasikan sebagai Kemas Untuk Simpan (KUS) oleh Timbalan Pendakwa Raya pada 2024 kerana tiada keterangan mencukupi untuk mendakwanya.
Walaupun pengumuman itu hanya dibuat pada 19 Ogos 2026—dua tahun selepas keputusan KUS—sekurang-kurangnya masyarakat akhirnya mengetahui kedudukan kes tersebut. Xavier tidak didakwa kerana, menurut SPRM, bukti yang diperoleh tidak mencukupi.
Saravanan di heret ke Mahkamah
Berbeza dengan Xavier, bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan telah pun diheret ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 28 Ogos 2026.
Saravanan mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1.097 juta sebagai dorongan dan upah bagi meluluskan permohonan 1,000 kuota pekerja asing untuk TYKB Engineering Sdn. Bhd. pada 2022.
Pertuduhan itu melibatkan wang tunai RM150,000, RM350,000 dan cek bernilai RM597,000 yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun Big Seven Ventures Sdn. Bhd. Saravanan belum disabitkan dan berhak kepada anggapan tidak bersalah sehingga diputuskan sebaliknya oleh mahkamah.

Jika kes Xavier boleh diumumkan sebagai selesai dan kes Saravanan boleh dibawa ke mahkamah, mengapa kedudukan kes melibatkan Sivakumar dan pegawainya masih tidak diperjelaskan?
Penahanan dan reman yang menggemparkan pada 2023
Pada April 2023, negara digemparkan dengan penahanan dua pegawai kanan Sivakumar, iaitu seorang pegawai tugas-tugas khas dan setiausaha sulitnya. Seorang ejen pengambilan pekerja asing turut ditahan bagi membantu siasatan.
SPRM ketika itu mengesahkan penahanan berkenaan. Media melaporkan bahawa siasatan melibatkan dakwaan rasuah berkaitan pengambilan pekerja asing dengan nilai sekitar RM97 juta.
Siasatan dikatakan tertumpu kepada dakwaan pihak tertentu menubuhkan agensi pengambilan pekerja asing bagi mendapatkan kelulusan daripada kementerian walaupun berdepan kemungkinan konflik kepentingan.
Sivakumar sendiri hadir ke ibu pejabat SPRM pada 16 April 2023 bagi memberikan keterangan dan membantu melengkapkan siasatan selepas tiga individu, termasuk dua pegawainya, ditahan.
Susulan perkembangan itu, Sivakumar menggantung tugas tiga pegawai kanannya. Beliau kemudian mengesahkan bahawa perkhidmatan lima pegawai kementerian ditamatkan, manakala seorang lagi dilaporkan dipindahkan.
Pada 27 Jun 2023, SPRM memaklumkan bahawa siasatan kes pegawai kanan Menteri Sumber Manusia itu sudah berada pada peringkat akhir. Namun, lebih tiga tahun kemudian, apakah hasil akhirnya?
Adakah Kes Diklasifikasikan KUS?
Persoalan ini tidak boleh dibiarkan terus tergantung.
Adakah kertas siasatan kes tersebut sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya? Adakah arahan pendakwaan pernah dikeluarkan? Adakah siasatan masih berjalan atau sudah diklasifikasikan sebagai KUS kerana keterangan tidak mencukupi?
Jika kes itu telah ditutup, SPRM perlu menyatakan tarikh keputusan dibuat dan alasan umumnya, sebagaimana penjelasan yang diberikan dalam kes Xavier.
Jika siasatan masih berjalan, SPRM perlu menjelaskan mengapa sebuah kes yang dilaporkan berada pada peringkat akhir sejak Jun 2023 masih belum mempunyai keputusan selepas lebih tiga tahun.
Jika pihak yang ditahan telah dibersihkan daripada sebarang kesalahan, perkara itu juga perlu diumumkan untuk memulihkan nama mereka. Penahanan dan reman bukan bukti seseorang bersalah. Namun, apabila tangkapan dibuat secara terbuka dan dilaporkan secara meluas, keputusan akhirnya juga wajar dimaklumkan secara terbuka.
Jangan sekadar tayang baju oren
SPRM tidak boleh dilihat hanya tangkas ketika melakukan tangkapan, mendapatkan perintah reman dan membawa suspek dengan pakaian lokap, tetapi kemudian berdiam diri apabila sesuatu siasatan tidak menghasilkan pertuduhan.
Baju oren bukan hukuman. Reman bukan sabitan. Ia hanyalah sebahagian daripada proses siasatan.
Masalahnya, imej suspek ketika ditahan kekal dalam ingatan masyarakat, sedangkan keputusan bahawa kes ditutup, bukti tidak mencukupi atau seseorang tidak didakwa kadangkala tidak diumumkan dengan ketegasan yang sama.
Keadaan sebegini bukan sahaja menimbulkan persepsi bahawa SPRM memilih bulu, malah boleh menzalimi individu yang pernah ditahan tetapi akhirnya tidak didakwa. Pada masa sama, sikap berdiam diri turut menimbulkan syak bahawa kes melibatkan tokoh politik tertentu mungkin telah dibiarkan hilang tanpa penjelasan.
SPRM Perlu Jawab Lima Soalan – SPRM wajar menjelaskan:
Apakah status terkini kertas siasatan kes pengambilan pekerja asing RM97 juta yang dikaitkan dengan pegawai-pegawai Sivakumar?
Adakah kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara atau Timbalan Pendakwa Raya?
Adakah kes tersebut masih disiasat, telah diklasifikasikan KUS atau diputuskan sebagai tiada tindakan lanjut?
Adakah Sivakumar pernah diklasifikasikan sebagai saksi, individu yang disiasat atau sekadar dipanggil membantu siasatan?
Apakah keputusan terhadap dua pegawai kanan dan ejen pengambilan pekerja asing yang pernah ditahan dan direman?
Desakan ini bukan bermaksud Sivakumar atau pegawai-pegawainya bersalah. Faktanya setakat ini, tiada pertuduhan mahkamah terhadap mereka yang dapat disahkan berhubung kes RM97 juta tersebut.
Namun, selepas kes Xavier dijelaskan dan Saravanan dibawa ke mahkamah, SPRM tidak mempunyai alasan untuk terus membiarkan status kes Sivakumar menjadi tanda tanya.
Jika bukti tidak mencukupi, nyatakan secara terbuka. Jika kes masih berjalan, jelaskan kedudukannya. Jika ada asas pendakwaan, bawalah ke mahkamah. Jangan biarkan sebuah kes berprofil tinggi berakhir hanya dengan tangkapan, reman dan gambar baju oren—tanpa jawapan kepada rakyat.
