Kejatuhan luar biasa Zetrix AI bukan sahaja menghapuskan berbilion ringgit nilai pasaran, malah membuka semula persoalan mengenai tekanan margin TS Wong, urus niaga korporat yang dibatalkan serta rangkaian pelaburannya dalam Excel Force, Cuscapi, MyTech dan HeiTech Padu
KUALA LUMPUR – Kejatuhan mendadak saham Zetrix AI Berhad, yang dahulunya dikenali sebagai My E.G. Services Berhad baru-baru ini bukan lagi sekadar cerita mengenai sebuah kaunter teknologi yang diserang khabar angin.
Dalam tempoh beberapa hari sahaja, berbilion ringgit nilai pasaran terhapus, pemegang saham terbesarnya Wong Thean Soon atau lebih dikenali sebagai TS Wong berdepan tekanan margin, ratusan juta saham bertukar tangan dan beberapa urus niaga korporat penting diumumkan sebelum dibatalkan atau dilupuskan.
Krisis keyakinan itu turut membuka semula perhatian terhadap rangkaian pegangan TS Wong dalam beberapa syarikat tersenarai lain, termasuk Excel Force MSC Berhad, Cuscapi Berhad, MyTech Group Berhad dan HeiTech Padu Berhad.

Pada masa sama, nama Dato’ Lim Kok Han, yang dikenali sebagai “Teleng”, kembali disebut oleh portal-portal pendedahan sebagai sekutu atau orang kanan TS Wong. Dimana ada TS Wong disitu ada Dato’ Teleng!
Apa yang dapat disahkan ialah satu rangkaian pelaburan besar yang dibina menggunakan nama peribadi TS Wong, syarikat pelaburannya Asia Internet Holdings Sdn Bhd serta Zetrix AI dan anak syarikatnya, MY EG Capital Sdn Bhd.

Kini, sebahagian daripada rangkaian tersebut sedang melalui tekanan harga, pelupusan saham dan perubahan pemilikan yang ketara.
Kontroversi dan ke mahkamah Saravanan mencetuskan panik pasaran
Pada 28 Ogos 2026, saham Zetrix AI menjunam 30 sen atau 50.4% kepada 29.5 sen. Lebih satu bilion saham bertukar tangan dan kaunter tersebut mencecah had bawah dagangan.
Kejatuhan itu berlaku ketika pasaran dipenuhi spekulasi yang cuba mengaitkan Zetrix AI dengan pertuduhan rasuah terhadap bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berhubung kelulusan kuota pekerja asing pada 2022.
Bursa Malaysia Securities Berhad kemudian mengeluarkan pertanyaan mengenai aktiviti pasaran luar biasa atau Unusual Market Activity kepada Zetrix AI.
Dalam jawapannya, Zetrix AI menafikan sebarang penglibatan atau hubungan dengan pertuduhan terhadap Saravanan. Syarikat itu menyifatkan khabar angin berkenaan sebagai tidak berasas dan menyatakan spekulasi tersebut mungkin telah menyumbang kepada aktiviti dagangan luar biasa.
Selepas membuat pertanyaan kepada pengarah, pemegang saham utama dan pihak berkaitan, Zetrix turut menyatakan bahawa tiada perkembangan korporat yang belum diumumkan yang boleh menjelaskan pergerakan harga itu.
Namun, penafian itu gagal menghentikan tekanan jualan.
Saham Zetrix terus merosot dalam sesi berikutnya. Dalam tempoh empat hari dagangan, kaunter itu kehilangan hampir dua pertiga nilainya, manakala sekitar RM3.55 bilion nilai pasaran dilaporkan terhapus antara 27 Ogos hingga 2 September 2026.
Persoalannya, jika khabar angin Saravanan telah dinafikan, mengapa tekanan jualan masih berterusan?
Jawapannya membawa pasaran kepada isu yang lebih besar: tekanan margin dan jualan paksa melibatkan akaun TS Wong sendiri.
Panggilan margin: TS Wong yang tertekan, saham Zetrix dan syarikat dikuasainya menjunam
Tekanan margin tersebut dilaporkan berlaku dalam akaun pelaburan milik TS Wong, pemegang saham terbesar dan Pengarah Urusan Kumpulan Zetrix AI.
Dalam satu panggilan persidangan bersama penganalisis dan pelabur selepas keputusan kewangan suku kedua, TS Wong dilaporkan mengakui terdapat jualan paksa melibatkan akaunnya. Beliau dikatakan memerlukan masa untuk menyelesaikan keadaan tersebut.
Ini bermakna saham Zetrix dipercayai telah digunakan sebagai cagaran bagi suatu kemudahan pembiayaan atau margin. Apabila harga saham jatuh, nilai cagaran turut merosot. Pemilik akaun kemudian perlu menambah tunai atau cagaran lain.
Jika keperluan itu tidak dapat dipenuhi, broker atau institusi pembiaya berhak menjual saham yang dicagarkan untuk melindungi pinjamannya.
Mekanisme itu boleh menghasilkan kesan berantai:
Harga saham jatuh, nilai cagaran merosot, panggilan margin tercetus, saham dijual secara paksa dan tekanan jualan seterusnya menyebabkan harga jatuh lebih rendah.
Dalam kes Zetrix, risiko itu menjadi lebih besar kerana TS Wong menguasai pegangan yang sangat besar. Sebarang penjualan daripada akaunnya berpotensi membawa jumlah saham yang sukar diserap pasaran dalam masa singkat.
RM57.5 juta saham dilupuskan dalam dua hari
Pemakluman Bursa menunjukkan bahawa pada 27 dan 28 Ogos 2026, TS Wong dan Asia Internet Holdings melupuskan sejumlah kira-kira 156.47 juta saham Zetrix.
Pada 27 Ogos, Asia Internet Holdings menjual 4.294 juta saham pada harga 60.6 sen sesaham dengan nilai kira-kira RM2.6 juta.
Pada 28 Ogos, syarikat itu melupuskan lagi 52.348 juta saham pada harga 48 sen, bernilai lebih kurang RM25.13 juta.
Pada hari yang sama, TS Wong sendiri menjual 99.823 juta saham pada harga 29.9 sen sesaham, menghasilkan kira-kira RM29.85 juta.
Keseluruhan transaksi tersebut bernilai sekitar RM57.58 juta.
Selepas pelupusan itu, TS Wong masih mempunyai 1.0966 bilion saham secara langsung, bersamaan kira-kira 13.922%, serta 1.0702 bilion saham secara tidak langsung melalui Asia Internet Holdings, bersamaan 13.586%.
Jumlah kepentingannya masih sekitar 27.51%, menjadikan beliau pemegang saham tunggal terbesar Zetrix AI.
Syarikat membeli balik saham, pemegang utama pula menjual
Sebelum krisis, Zetrix AI sendiri aktif membeli balik sahamnya.
Sepanjang Januari hingga Ogos 2026, syarikat dilaporkan membeli kira-kira 123.29 juta saham dengan perbelanjaan tunai sekitar RM94.2 juta. Daripada jumlah itu, kira-kira 32.46 juta saham dibeli pada Julai dan Ogos.
Antara 27 Julai hingga 7 Ogos, Zetrix membeli 16.01 juta saham pada harga antara 69 sen hingga 73 sen, dengan perbelanjaan sekitar RM11.35 juta.
Pada 18 Ogos, syarikat membeli 1.43 juta saham lagi pada harga 67.5 sen sesaham. Pada 26 Ogos, sehari sebelum kejatuhan besar bermula, syarikat masih melakukan pembelian balik pada lingkungan 66.5 sen.
Tidak lama kemudian, TS Wong menjual saham peribadinya pada harga serendah 29.9 sen.
Situasi itu menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan penggunaan modal. Wang syarikat telah digunakan untuk membeli saham pada harga sekitar 60 hingga 70 sen, tetapi harga pasaran kemudian merosot ke lingkungan 20-an sen.
Belian balik saham tidak semestinya suatu kesalahan. Ia boleh digunakan untuk mengurangkan jumlah saham beredar, meningkatkan pendapatan sesaham dan memberi isyarat keyakinan pengurusan.
Namun, apabila syarikat membeli balik saham pada harga tinggi sedangkan pemegang saham utamanya kemudian berdepan jualan paksa, pemegang saham minoriti berhak bertanya sama ada risiko kecairan pemegang utama telah dinilai dengan secukupnya.
Keuntungan RM269 juta tetapi pasaran tetap menghukum
Kejatuhan itu berlaku walaupun Zetrix melaporkan keputusan kewangan yang kelihatan sangat kukuh.
Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, keuntungan bersih meningkat 35.2% kepada RM269.25 juta berbanding RM199.15 juta setahun sebelumnya.
Hasil suku tahunan meningkat 38.6% kepada RM426.72 juta.
Bagi tempoh enam bulan pula, keuntungan bersih meningkat kepada RM540.58 juta, manakala hasil berjumlah RM813.02 juta.
Syarikat mengaitkan peningkatan tersebut dengan langganan dan perkhidmatan platform kecerdasan buatan, yuran aplikasi Web3 melalui rangkaian blok rantai Zetrix, pendaftaran identiti digital serta jualan nod dan token Zetrix.
Zetrix turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 0.25 sen sesaham.
Justeru, kejatuhan harga bukan berpunca daripada kemerosotan keuntungan yang dilaporkan.
Tetapi keuntungan yang tinggi tidak semestinya menghapuskan semua persoalan fundamental.
Pelabur masih perlu menilai aliran tunai operasi, penghutang, aset tidak ketara, kos pembangunan yang dipermodalkan, pelunasan kos pembangunan, sifat hasil daripada token dan nod serta sejauh mana pendapatan berkenaan boleh berulang.
Pasaran bukan sahaja menilai berapa banyak keuntungan yang dicatatkan. Pasaran turut menilai kualiti keuntungan, penggunaan modal, ketelusan, tadbir urus dan risiko pemegang saham pengawal.
Urus niaga RM130 juta diumumkan ketika harga sedang runtuh
Ketika pasaran masih bergelut dengan kejatuhan saham, Zetrix menandatangani perjanjian pada 1 September 2026 untuk membeli 50% kepentingan dalam MYEG Ventures Inc dari Next Lion Ltd pada harga RM130 juta.

MYEG Ventures memiliki 51% MyEG Philippines Inc, manakala Zetrix sudah mempunyai 49% kepentingan langsung dalam MyEG Philippines.
Jika urus niaga itu diselesaikan, kepentingan efektif Zetrix dalam MyEG Philippines akan meningkat kepada 74.5%.
Pembayaran dirancang melalui gabungan tunai dan penerbitan sehingga 360.57 juta saham baharu Zetrix. Harga terbitan saham tersebut akan ditentukan berdasarkan harga purata wajaran volum lima hari sebelum penerbitannya.
Struktur itu segera menimbulkan persoalan apabila harga saham Zetrix sedang berubah secara ekstrem.
Semakin rendah harga terbitan, semakin banyak saham mungkin perlu diterbitkan untuk memenuhi nilai pertimbangan. Pada jumlah maksimum 360.57 juta saham, pencairan kasar adalah sekitar 4.5% berbanding kira-kira 8.06 bilion saham beredar.
Dalam jawapan kepada Bursa, Zetrix mengakui harga terbitan belum ditetapkan kerana turun naik harga saham.
Syarikat turut membetulkan “kesilapan tidak disengajakan” dalam pengumuman awal yang menyatakan MYEG Ventures memiliki 60% MyEG Philippines. Pegangan sebenar ialah 51%.
Harga RM130 juta pula berdasarkan penilaian dalaman yang mengambil kira prestasi, prospek pertumbuhan dan unjuran lima tahun MyEG Philippines.
Namun, maklumat kewangan terperinci MyEG Philippines tidak disertakan dalam jawapan awal tersebut. MYEG Ventures sendiri dilaporkan mencatatkan kerugian komprehensif bagi FY2023 dan FY2024.
Pada 4 September, hanya tiga hari selepas perjanjian ditandatangani, Zetrix mengumumkan penamatannya.
Alasan rasmi ialah penilaian semula rasional komersial disebabkan turun naik harga saham yang akan digunakan sebagai sebahagian daripada pertimbangan.
Kedua-dua pihak dilepaskan daripada tanggungjawab masing-masing tanpa bayaran penalti atau yuran pembatalan.
Pembatalan itu menunjukkan bahawa kejatuhan saham bukan sekadar pergerakan atas skrin dagangan. Ia telah mula menjejaskan kemampuan syarikat menggunakan sahamnya sebagai mata wang untuk melaksanakan strategi pengambilalihan.
Zetrix keluar daripada HeiTech Padu
Dalam perkembangan berasingan, MY EG Capital Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Zetrix AI Bhd, melupuskan keseluruhan 27.5 juta sahamnya dalam HeiTech Padu Bhd, bersamaan 16.9% kepentingan dalam syarikat berkenaan.
Pelupusan itu dilaksanakan melalui transaksi perniagaan terus pada 2 September 2026 dengan nilai kira-kira RM27.5 juta atau RM1 sesaham. Pengumuman berhubung transaksi tersebut dibuat pada 4 September.
Susulan pelupusan itu, Zetrix AI dan pemegang saham terbesarnya, TS Wong, tidak lagi menjadi pemegang saham substansial HeiTech Padu menerusi kepentingan yang dianggap dimiliki melalui MY EG Capital. Bagaimanapun, TS Wong dilaporkan masih memegang kira-kira 0.97% saham HeiTech Padu secara langsung.
Masa pelupusan tersebut menarik perhatian kerana ia berlaku ketika Zetrix AI dan pemegang saham terbesarnya berdepan tekanan pasaran yang luar biasa. Tekanan jualan turut merebak kepada saham HeiTech Padu, yang merosot sehingga 87.5 sen dalam dagangan intrahari sebelum pulih dan ditutup pada RM1.08.
Sebelum pelupusan tersebut, Zetrix AI melalui MY EG Capital menguasai 16.9% kepentingan dalam HeiTech Padu, syarikat yang dianugerahkan kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bernilai RM1.05 bilion oleh kerajaan pada Oktober 2025.
Walaupun kepentingan ekuiti itu telah dilupuskan, Zetrix AI dilaporkan merupakan rakan pelaksana teknologi HeiTech Padu bagi projek NIISe yang dijadualkan siap pada 2028. Sistem berkenaan bertujuan memodenkan infrastruktur teknologi maklumat Jabatan Imigresen, termasuk pengurusan kemasukan dan kepulangan pekerja asing serta fungsi imigresen lain.
Excel Force: TS Wong masih pemegang saham terbesar
TS Wong juga mempunyai sejarah pegangan besar dalam Excel Force MSC Berhad atau EFORCE, sebuah syarikat penyelesaian teknologi dan perisian pasaran kewangan.
Tahun 2023, Excel Force MSC Berhad telah melantik Datuk Seri Farhash Wafa Salvador sebagai Pengerusi Eksekutif syarikat sehingga kini.

Pada April 2024, kepentingannya dilaporkan sekitar 30.3%, terdiri daripada 18.23% secara langsung dan 12.07% secara tidak langsung melalui Asia Internet Holdings.
Pada Mei 2025, selepas satu lagi pembelian saham, pegangan yang diumumkan ialah:
- 146.71 juta saham atau 24.055% secara langsung;
- 41.30 juta saham atau 6.772% secara tidak langsung;
- jumlah sekitar 188.01 juta saham atau 30.83%.
Bagaimanapun, data MyBursa yang dilaporkan pada awal September 2026 menunjukkan kepentingannya telah berkurang kepada kira-kira 24.32%, walaupun beliau masih merupakan pemegang saham terbesar Excel Force.
Ini menunjukkan terdapat perubahan atau pelupusan selepas Mei 2025.
Sebelum itu, pada Januari 2024, TS Wong pernah melupuskan 2.66% kepentingan dalam Excel Force pada nilai kira-kira RM5.81 juta.
Kedudukan Excel Force penting kerana ia membuktikan pendedahan TS Wong tidak hanya tertumpu kepada Zetrix. Beliau turut mempunyai pegangan besar dalam syarikat lain dalam sektor teknologi dan perkhidmatan digital.
Namun, belum ada bukti terbuka bahawa saham Excel Force turut dicagarkan dalam kemudahan margin yang sama.
Cuscapi: Asia Internet keluar, TS Wong masih menguasai pegangan besar
Cuscapi merupakan satu lagi syarikat yang lama dikaitkan dengan rangkaian pelaburan TS Wong.
Pada penghujung 2023, beliau dilaporkan menguasai hampir 31% Cuscapi, terdiri daripada kira-kira 21.955% secara langsung dan 8.811% secara tidak langsung. Cuscapi ialah syarikat rampasan menggunakan pegawai SPRM di zaman Tan Sri Azam Baki.
Pada 26 Disember 2024, Asia Internet Holdings melupuskan 50 juta saham Cuscapi. Selepas transaksi itu, TS Wong masih mempunyai:
- 207.45 juta saham atau 21.955% secara langsung;
- 27.75 juta saham secara tidak langsung.
Pada Januari 2025, Asia Internet berhenti menjadi pemegang saham substansial selepas beberapa pelupusan. Namun beliau masih mempunyai pegangan langsung sebagai salah seorang pemegang saham terbesar syarikat.
Pada Jun 2025, beliau dilaporkan menambah 30 juta saham Cuscapi pada harga 16 sen sesaham.
Cuscapi sendiri pernah memegang saham MyEG. Pada 2023, syarikat itu menjual keseluruhan 12.08 juta saham MyEG dengan nilai RM11.11 juta dan mencatatkan keuntungan kecil sekitar RM22,232.
Hubungan silang itu menunjukkan bagaimana syarikat dalam lingkungan pelaburan yang sama boleh mempunyai pendedahan antara satu sama lain.
MyTech: TS Wong lupus saham beri kepada taikun judi GPL
MyTech Group Berhad, yang dahulunya dikenali sebagai Widetech (Malaysia) Berhad, pernah menjadi satu lagi pegangan besar Tan Sri Wong Thean Soon (TS Wong).
Sehingga Ogos 2025, TS Wong dilaporkan memiliki 50.59 juta saham MyTech atau 20.552% secara langsung, selain 4.47 juta saham atau 1.815% secara tidak langsung.
Bagaimanapun, pada 12 Disember 2025, beliau melupuskan 42.4 juta saham MyTech pada harga 30 sen sesaham. Transaksi tersebut dianggarkan bernilai RM12.72 juta.
Pelupusan itu merupakan sebahagian daripada urus niaga yang membolehkan Tan Sri Cheng Joo Teik dan pihak yang bertindak bersama meningkatkan kepentingan mereka dalam MyTech, sekali gus mencetuskan tawaran pengambilalihan mandatori.
Cheng bersama anaknya, Dato’ Douglas Cheng, dikaitkan dengan GPL Group Sdn Bhd—sebuah kumpulan yang terkenal dalam industri permainan dan hiburan. GPL Group dilaporkan mengendalikan rangkaian pusat karaoke, pusat permainan serta premis yang didaftarkan sebagai kelab sukan dan rekreasi di Malaysia dan luar negara.
Namun, struktur korporat dan prestasi kewangan syarikat-syarikat dalam rangkaian tersebut pernah menimbulkan persoalan. Antaranya ialah dakwaan bahawa kegiatan perniagaan dijalankan melalui pelbagai entiti korporat, sedangkan sebahagian syarikat berkenaan dilaporkan terus mencatatkan kerugian.
Siapa Dato’ Lim Kok Han @ “Teleng”? Pernah Digelar ‘Budak Azam Baki’ dalam Kontroversi Saham Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM
Nama Dato’ Lim Kok Han, yang turut dikenali sebagai Andy Lim atau “Dato’ Teleng”, bukan nama baharu dalam laporan mengenai perebutan syarikat tersenarai dan jaringan ahli perniagaan kontroversi.
Sebelum dikaitkan oleh beberapa portal pendedahan sebagai sekutu rapat atau orang kanan TS Wong, Lim pernah disebut dalam kontroversi pemilikan saham bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki.

Kontroversi saham Azam tercetus pada penghujung 2021 selepas laporan penyiasatan mempersoalkan jutaan saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai yang direkodkan atas nama beliau ketika masih menjadi pegawai kanan SPRM.
Azam dilaporkan pernah mempunyai 1.93 juta saham Gets Global Berhad pada 30 April 2015. Pegangan itu berkurang kepada kira-kira 1.03 juta saham pada 31 Mac 2016. Beliau juga direkodkan mempunyai 2.156 juta waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.
Excel Force menjadi relevan kerana TS Wong kemudiannya muncul sebagai pemegang saham terbesar syarikat tersebut. Pada April 2024, TS Wong dilaporkan menguasai kira-kira 30.3% Excel Force melalui pegangan langsung dan tidak langsung.
Dalam laporan mengenai kontroversi saham Azam, hubungan perniagaan adiknya, Nasir Baki, turut diteliti. Nama Lim Kok Han dan Mohd Aswadi Mat Zain disebut sebagai individu yang mempunyai hubungan perniagaan dengan anggota keluarga Azam.

Laporan itu mengakui bukti yang ada tidak mencukupi untuk menyimpulkan bahawa Lim dan Aswadi ialah proksi Azam. Namun, ia mendakwa terdapat hubungan perniagaan yang dapat dikenal pasti antara mereka dengan adik Azam.
Azam kemudian menjelaskan bahawa saham berkenaan sebenarnya dibeli oleh Nasir menggunakan akaun dagangan milik Azam dengan kebenarannya pada 2015. Menurut penjelasan tersebut, pembelian dibuat di pasaran terbuka dan saham berkenaan dipindahkan kepada Nasir pada tahun yang sama.
Pengakuan mengenai penggunaan akaun itu menyebabkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menyiasat kemungkinan pelanggaran Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991.
Pada Januari 2022, Suruhanjaya Sekuriti menyatakan bahawa berdasarkan bukti yang diperoleh, badan itu tidak dapat menentukan secara muktamad bahawa pelanggaran telah berlaku. Keputusan tersebut bukan sabitan terhadap Azam, tetapi tidak menjawab sepenuhnya semua persoalan awam mengenai pemilikan benefisial, penggunaan akaun dagangan dan kemungkinan konflik kepentingan.
Kontroversi itu turut menyebabkan Profesor Edmund Terence Gomez meletakkan jawatan daripada salah satu panel pemantauan SPRM kerana tidak berpuas hati dengan cara isu tersebut ditangani.
Azam kemudian memfailkan saman fitnah terhadap penulis laporan berkenaan, Lalitha Kunaratnam. Saman itu ditarik balik pada Jun 2024 tanpa perbicaraan penuh untuk menentukan kebenaran keseluruhan dakwaan tersebut.
Nama Lim Kok Han kembali mendapat perhatian apabila turut muncul dalam laporan penyiasatan Bloomberg pada Februari 2026 mengenai dakwaan hubungan antara pegawai SPRM dengan sekumpulan ahli perniagaan yang dikatakan terlibat dalam perebutan kawalan syarikat-syarikat tersenarai.
Menurut laporan berkenaan, satu memo dalaman bahagian perisikan SPRM sekitar 2020 didakwa menggambarkan Andy Lim atau Lim Kok Han sebagai rakan rapat Azam Baki serta beberapa pegawai kanan SPRM yang masih berkhidmat atau telah bersara.

Bloomberg turut mengaitkan Lim dengan kontroversi membabitkan pengasas GIIB Holdings Berhad, Tai Boon Wee. Berdasarkan laporan polis dan sumber yang dipetik Bloomberg, Lim didakwa menuntut kedudukan dalam lembaga pengarah GIIB sambil memperlihatkan sepucuk pistol yang terselit pada badannya.
Kes tersebut dilaporkan berakhir dengan keputusan tiada tindakan lanjut. Bloomberg turut melaporkan dakwaan bahawa bahagian berkaitan pelesenan senjata di Bukit Aman menerima komunikasi daripada seorang “pegawai atasan SPRM” supaya senjata berkenaan dipulangkan dan kes itu tidak diteruskan.
Identiti pegawai yang didakwa membuat komunikasi itu tidak dinyatakan secara terbuka. Oleh itu, tidak boleh disimpulkan bahawa arahan tersebut datang daripada Azam sendiri.
SPRM menafikan bahawa siasatannya dipengaruhi kepentingan ahli perniagaan. Agensi itu menegaskan semua siasatan dijalankan berdasarkan undang-undang dan bukti serta tertakluk kepada budi bicara pihak pendakwaan dan pengawasan kehakiman.
Kemunculan nama Lim dalam laporan Bloomberg memberikan dimensi baharu kepada gelaran “budak Azam Baki” yang sebelum ini digunakan oleh beberapa portal pendedahan. Bagaimanapun, kandungan laporan tersebut masih berupa dakwaan yang dipertikaikan dan belum menghasilkan keputusan mahkamah yang mensabitkan Lim atau Azam berhubung perkara itu.
Selepas dikaitkan dengan Azam dan anggota keluarganya, Lim turut digambarkan oleh beberapa portal sebagai sekutu rapat atau orang kanan TS Wong. Namanya berulang kali disebut dalam lingkungan syarikat seperti Cuscapi, Green Packet dan GIIB Holdings serta beberapa kaunter yang pernah melalui perubahan pemegang saham, pertikaian lembaga pengarah atau siasatan pihak berkuasa.
Setakat rekod Bursa yang diketahui, Lim tidak diumumkan sebagai pemegang saham substansial, pengarah atau pengawal Zetrix AI. TS Wong sendiri kekal sebagai pengasas, Pengarah Urusan Kumpulan dan pemegang saham terbesar syarikat tersebut.
Oleh itu, belum ada bukti korporat yang mencukupi untuk menyatakan Lim ialah “bos” yang mengawal TS Wong atau Zetrix AI.
Apa yang boleh dikatakan ialah Lim pernah digelar “budak Azam Baki” kerana hubungan yang didakwa dengan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM dan anggota keluarganya. Beliau kemudiannya turut digambarkan sebagai sekutu TS Wong dalam rangkaian korporat yang sama.
Apabila saham Zetrix AI menjunam dan TS Wong berdepan tekanan margin, hubungan antara TS Wong dengan individu yang pernah dikaitkan dengan kontroversi saham Azam serta disebut dalam pendedahan Bloomberg itu sekali lagi menjadi perhatian.
Persoalannya ialah sama ada hubungan Lim dengan TS Wong hanya persahabatan biasa atau mempunyai kesan terhadap pemilikan saham, pembiayaan dan kawalan syarikat-syarikat tersenarai.
Bukan semua kejatuhan boleh dianggap kebetulan, tetapi bukti masih diperlukan
Kejatuhan Zetrix, kelemahan harga beberapa kaunter berkaitan dan siri pelupusan saham sememangnya mewujudkan persepsi bahawa empayar pelaburan TS Wong sedang bergoncang.
Namun, tidak tepat untuk menyatakan semua syarikat itu jatuh pada masa yang sama atau atas sebab yang sama.
Setiap kaunter mempunyai struktur kewangan, prestasi operasi, pemegang saham dan faktor pasaran yang berbeza.
Apa yang menyatukan syarikat-syarikat tersebut ialah kewujudan kepentingan TS Wong pada suatu ketika—secara langsung, melalui Asia Internet Holdings atau melalui Zetrix dan MY EG Capital.
MyTech telah dilepaskan sebahagian besarnya. Zetrix juga telah keluar daripada pegangan 16.9% dalam HeiTech Padu. TS Wong masih mempunyai kepentingan penting dalam Zetrix, Excel Force dan Cuscapi.
Oleh itu, istilah “empayar saham TS Wong” boleh digunakan sebagai gambaran rangkaian pelaburan, tetapi tahap “penguasaan” mesti dinilai berasingan bagi setiap syarikat.
Krisis sebenar ialah krisis keyakinan
Zetrix masih mencatatkan keuntungan ratusan juta ringgit. Syarikat masih mempunyai operasi, teknologi, kontrak dan rancangan pengembangan.
Namun, pasaran kini tidak hanya mempersoalkan prestasi perniagaan.
Pasaran mahu mengetahui jumlah sebenar saham TS Wong yang dicagarkan, baki risiko jualan paksa, penggunaan tunai syarikat, kualiti keuntungan serta rasional di sebalik keputusan korporat yang diumumkan dan dibatalkan dalam tempoh singkat.
Khabar angin Saravanan mungkin menjadi pencetus awal. Tetapi kejatuhan yang berterusan selepas penafian rasmi menunjukkan masalah keyakinan itu lebih mendalam.
Panggilan margin ialah urusan akaun TS Wong, bukannya hutang margin Zetrix. Namun apabila individu berkenaan ialah pengarah urusan, pemegang saham terbesar dan tokoh yang begitu sinonim dengan syarikat, masalah kewangan pada peringkat pemegang saham pengawal boleh memberi kesan langsung kepada harga saham dan persepsi terhadap syarikat.
Perbezaan undang-undang antara individu dengan syarikat memang jelas. Dalam pasaran modal, kesan reputasi dan kecairannya tidak semestinya dapat dipisahkan begitu mudah.
Kini, perhatian bukan sahaja tertumpu kepada sama ada saham Zetrix boleh pulih.
Persoalan lebih besar ialah sama ada TS Wong mampu menamatkan tekanan jualan paksa, menstabilkan struktur pegangannya dan mengembalikan keyakinan terhadap seluruh rangkaian korporat yang selama ini dikaitkan dengannya.
Sehingga maklumat lengkap mengenai cagaran saham dan kedudukan margin didedahkan, pasaran hanya mempunyai cebisan maklumat.
Dalam keadaan sebegitu, khabar angin mudah mengisi ruang yang ditinggalkan oleh kekurangan ketelusan.
Dan bagi sebuah syarikat yang menjual teknologi berasaskan kepercayaan, identiti digital dan blok rantai, krisis paling besar akhirnya bukan semata-mata kejatuhan harga saham—tetapi kehilangan keyakinan pasaran.
Terbaru saham Zetrix AI Berhad kembali berdepan tekanan jual pada 9 September 2026 apabila ditutup pada 27 sen, susut 3.5 sen atau 11.48%. Kaunter itu sebenarnya dibuka lebih tinggi pada 31 sen dan sempat mencecah 31.5 sen sebelum kehilangan momentum sehingga menghampiri paras terendah harian 26.5 sen.
Kejatuhan itu berlaku hanya sehari selepas Zetrix melonjak 12.96% kepada 30.5 sen, sekali gus menunjukkan volatiliti saham berkenaan masih sangat tinggi. Aktiviti dagangan juga kekal luar biasa aktif dengan 660.06 juta saham bertukar tangan bernilai kira-kira RM185.74 juta.

Corak dagangan tersebut menunjukkan pertarungan pembeli dan penjual masih sengit. Kegagalan mempertahankan kenaikan awal serta penutupan hampir paras terendah harian memberi isyarat bahawa tekanan jual masih kuat, walaupun minat dagangan terhadap Zetrix kekal tinggi.
